Aug 21 2008
KENYATAAN AKHBAR TNB BERHUBUNG KENYATAAN MEDIA OLEH GERAK
Pihak TNB telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani gejala penggunaan elektrik secara curang di seluruh negara. Inisiatif-inisiatif ini termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas pepasangan meter di premis-premis pengguna dalam bentuk pemeriksaan berkala dan operasi pengekangan kehilangan tenaga. Di samping itu, pihak TNB juga menjalankan pemeriksaan mengejut ke premis-premis yang disyaki berdasarkan maklumat atau aduan daripada orang ramai. Sejak tahun 2004, sebanyak lebih 2 juta premis yang merupakan 30% daripada jumlah keseluruhan pengguna TNB, telah diperiksa oleh TNB.
Hasil daripada usaha TNB tersebut, 42,272 kes kecurian elektrik telah dikenalpasti semenjak tahun 2004. Daripada jumlah tersebut pula, sebanyak 2,304 notis tuntutan dan 390 saman telah dikeluarkan bagi mendapatkan jumlah tuntutan kehilangan tenaga atau kerugian oleh TNB. Di samping itu, 26 pendakwaan kes jenayah berhubung kecurian elektrik telah dibuat sejak tahun 2005 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.
Pihak TNB telah menubuhkan pasukan untuk mengekang kehilangan tenaga secara aktif yang dikenali sebagai Special Engagement Against Losses (SEAL). Pasukan ini bertanggungjawab membuat semakan fizikal ke atas pemasangan jangka pengguna serta kerja-kerja pemasangan jangka dan pembaikan ke atas kejanggalan hasil dari semakan fizikal yang telah dibuat. Terdapat lebih 400 orang anggota kerja di dalam Pasukan SEAL ini dan mereka ditempatkan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pihak TNB juga telah melaksanakan projek Remote Metering Reading (RMR), di mana TNB menggunakan teknologi pemantauan secara jarak jauh dari sistem pembilan bulanan dan sistem perjangkaan di premis pengguna. Sistem ini dirancang akan dipasang pada kesemua pengguna-pengguna kuasa besar bagi kategori industri dan komersial TNB sebelum akhir tahun 2009. Setakat ini lebih kurang 35,000 premis pengguna kategori kuasa besar telah dipasang dengan sistem tersebut.
Berhubung dengan kenyataan media yang dibuat oleh GERAK semalam, pihak TNB merasakan bahawa kenyataan melulu atau dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Kenyataan bahawa TNB kerugian sebanyak RM1 bilion sebulan akibat kecurian elektrik adalah tidak munasabah, di mana angka tersebut adalah amat besar berbanding dengan hasil jualan elektrik bulanan TNB. Justeru itu, pihak TNB tidak teragak-agak untuk merujuk perkara ini dari segi perundangan bagi memastikan sama ada dakwaan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah atau defamation. Pihak TNB juga kecewa bahawa GERAK sebelum ini tidak pernah mengemukakan sebarang aduan kepada pihak TNB berhubung perkara ini untuk disiasat atau diambil tindakan selanjutnya.
Pihak TNB percaya bahawa isu ini telah dibangkitkan oleh pemberi maklumat (informant) yang tidak berpuashati. Terdapat kes-kes di mana maklumat telah diberikan tetapi siasatan masih perlu dijalankan oleh TNB bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima.
Pihak TNB telah dan pernah membuat pembayaran ganjaran kepada pemberi-pemberi maklumat. Ingin ditegaskan bahawa TNB hanya membuat pembayaran ganjaran kepada pemberi-pemberi maklumat yang sahih sahaja. Walau bagaimanapun, ingin dijelaskan bahawa pemberian ganjaran oleh TNB kepada pemberi-pemberi maklumat tidak diperuntukkan oleh undang-undang atau akta. Ianya merupakan inisiatif TNB sendiri bagi menggalakkan orang ramai untuk memberikan maklumat bagi membantu TNB menangani gejala kecurian elektrik yang berleluasa.
Di samping itu, pihak TNB menyeru kepada pihak GERAK untuk memberikan senarai nama kakitangan-kakitangan TNB yang mereka dakwa terlibat. Pihak TNB tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salahlaku sebegini di kalangan warga kerjanya. TNB sentiasa memantau masalah ini dan pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi tujuan tersebut. Misalnya, pihak TNB baru-baru ini telah melancarkan prosidur whistle-blowing information system dan talian bebas tol (1-800-888-862) bagi menyeru pihak awam untuk memberikan sebarang maklumat sekiranya berlaku salahlaku atau penyelewengan oleh kakitangan TNB.
Pihak TNB meminta agar GERAK memberikan bukti-bukti kukuh mengenai penyelewengan seperti yang didakwa untuk pihak TNB mengambil tindakan selanjutnya. TNB kecewa terhadap tuduhan yang dibuat boleh menjejaskan imej serta krediliti syarikat. TNB juga ingin menjemput serta mengalu-alukan GERAK untuk berbincang dengan pihak TNB berhubung perkara ini.
TNB juga ingin menegaskan bahawa kecurian elektrik adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh disabit dengan hukuman penjara dan / atau denda seperti yang tertakluk di dalam Akta Bekalan Elektrik 1990 dan meminta orangramai supaya segera melaporkan kes-kes kecurian elektrik kepada TNB untuk tindakan selanjutnya.