Oct 24 2008
TNB Perolehi Pengiktirafan Peringkat Antarabangsa
Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menerima satu pengiktarafan peringkat antarabangsa dengan dengan tersenarainya TNB dalam Platts Top 250 Company 2008. Majlis pengiktirafan peringkat Asia/Australia telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di Singapura pada 20 Oktober, 2008 yang lalu.
Anugerah ini disampaikan kepada syarikat yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dari segi kewangan dan pengurusan, manakala proses penilaian adalah berdasarkan formula khas yang ditentukan oleh Platts. Mengikut ranking 2008, TNB berada di ranking ke 100 dari senarai 250 syarikat tenaga terkemuka di dunia. Kedudukan ini mendahului beberapa syarikat di negara-negara maju seperti Esso Saf, France (102), Caltex Australia (106), United Utilities, U.K (120), EGL Switzerland (171), El Paso Corp. USA (177) dan lain-lain lagi.
Di peringkat Asia/Australia pula, TNB berada di ranking ke 18 dari jumlah 59 syarikat-syarikat Asia dan Australia yang disenaraikan dalam Platts Top 250 Global Company 2008. Kedudukan ini merupakan satu peningkatan yang tinggi berbanding ranking ke 32 (Tahun 2007) dan ke 43 (Tahun 2006). Kedudukan terbaru ini juga turut mengatasi nama-nama besar di peringkat Asia/Australia seperti CLP Holding, Hong Kong (20), Caltex Australia (21), Tokyo Electric Power Co. Ltd, Japan (24), China Coal Energy, China (29), Tokyo Gas Co. Ltd. Japan (40), Osaka Gas Co. Ltd. Japan (44) dan Hokkaido Electric Power Co. Japan (58).
TNB telah diwakili oleh Dato’ Abdul Razak Majid, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat TNB yang telah menerima plak pengiktirafan tersebut dari Encik Dan Tanz, Naib Presiden Platts.
Majlis yang dianjurkan oleh Platt Global Energy Award yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat ini turut dihadiri Encik S. Iswaran, Menteri Kanan bagi Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Ms Victoria Chu Pao, President Platts dan wakil-wakil syarikat tenaga di Asia dan Australia.